Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    2 maut pesawat pemadam kebakaran terhempas di Greece

    ATHENS, 26 JULAI – Juruterbang dan pembantu juruterbang sebuah pesawat pemadam kebakaran terbunuh selepas pesawat dinaiki terhempas kelmarin ketika memadam kebakaran hutan di Pulau Evia Greece, kata Kementerian Pertahanan negara itu.

    Mangsa terdiri dua pegawai Tentera Udara Greece berusia 27 dan 34 tahun, menurut kenyataan media, lapor Xinhua.

    Angkatan tentera mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari sebagai mengingati mangsa. Presiden Greece, Katerina Sakellaropoulou dan Perdana Menteri, Kyriakos Mitsotakis mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan sekerja mereka.

    “Penghargaan kami sangat besar dan kesedihan kami amat mendalam… Greece sedang berkabung bersama awda,” kata Sakellaropoulou.

    “Mereka mengorbankan nyawa untuk menyelamatkan nyawa orang lain…,” kata Perdana Menteri.

    Mayat kedua-dua lelaki itu telah dikeluarkan dari lokasi nahas berhampiran bandar pantai Karystos selepas operasi mencari dan menyelamat, lapor agensi berita kebangsaan Greece, AMNA.

    Pesawat Canadair itu terbakar selepas terhempas. Pemergian kedua-dua pegawai itu adalah kematian pertama akibat kebakaran hutan yang melanda Greece musim panas ini. – Bernama

    Pegawai tentera dan bomba memeriksa serpihan pesawat pemadam kebakaran Canadair CL-215, yang terhempas di Karystos, pulau Evia, Greece, baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda