SYDNEY, 5 JAN – Dua individu maut dalam nahas pesawat ringan di pantai timur Australia di utara Sydney, lapor Xinhua.
Polis di negeri New South Wales (NSW) dalam satu kenyataan kelmarin berkata perkhidmatan kecemasan menerima panggilan berhubung kejadian pesawat ringan terhempas ke dalam laut berhampiran bandar Nambucca Heads, kira-kira 400 kilometer (km) utara Sydney, pada 4 petang.
“Juruterbang dan penumpang pesawat itu meninggal dunia di lokasi kejadian dan masih belum dikenal pasti secara rasmi,” kata Polis NSW.
Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) melaporkan bahawa bangkai pesawat itu ditemukan kira-kira 1.5km dari pantai.
Polis marin, pasukan ambulans dan sebuah helikopter penyelamat telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
Polis NSW memaklumkan siasatan mengenai insiden itu telah dimulakan dengan bantuan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia. – Bernama