Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Sebagai usaha dan inisiatif berterusan untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dengan diagnosis yang lebih baik, Jabatan
Radiologi, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah merasmikan mesin terkini iaitu 3.0 Tesla Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan 128 Dual Source
Computed Tomography (CT) pada majlis yang berlangsung di jabatan itu, hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan perasmian kedua-dua mesin teknologi canggih berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Anie Haryani binti Abdul Rahman, ketua-ke-tua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Konsultan Gred II dan Ketua Jabatan Radiologi, Hospital RIPAS, Dr Nor Lenny binti Abdullah menyatakan bahawa dengan adanya mesin-mesin terbaharu dengan teknologi serta aplikasi terkini itu, ia bukan sahaja akan menambah baik kualiti imej-imej MRI dan CT tetapi ia juga akan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan proses aliran kerja di kedua-dua bahagian dengan keselesaan dan keselamatan pesakit yang dipertingkatkan.
Beliau menerangkan bahawa mesin-mesin berkenaan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mengautomasikan proses kerja dan menjadikan imbasan lebih konsisten, lebih boleh dihasilkan semula serta lebih cepat.
“Kedua-dua mesin ini juga diintegrasikan kepada sistem Bru-HIMS PACS yang mana membolehkan penghantaran terus imej-imej yang dihasilkan untuk direbiu dan diteliti oleh pakar radiologi dengan lebih tepat dan terperinci.”
Dengan itu, jelasnya, ia meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan secara tidak langsung pengurangan masa menunggu bagi pesakit mendapatkan rawatan.
Selepas merasmikan kedua-dua mesin tersebut, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dibawa menyaksikan demonstrasi penggunaan serta aplikasi baharu yang terdapat pada mesin-mesin berkenaan dan menyaksikan pameran mengenai perkhidmatan-perkhidmatan radiologi di Ruang Legar, Lobi 5, Hospital RIPAS.
Perasmian kedua-dua mesin baharu berkenaan adalah antara usaha dan inisiatif yang telah dirancang oleh Jabatan Radiologi untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dengan diagnosis yang lebih baik, perawatan yang lebih efektif serta pencapaian kualiti hidup yang tinggi.
Bulan November dipilih untuk mengadakan majlis perasmian berkenaan memandangkan pada bulan ini, semua warga radiologi di seluruh negara meraikan Hari Antarabangsa Radiologi bersempena memperingati sejarah penemuan radiasi x-ray oleh Wilhelm
Roentgen pada 1895.