Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Syarikat Jati Transport Sdn Bhd sebagai pengedar utama kereta jenama Mercedes-Benz di negara ini dengan kerjasama Standard Chartered Bank (SCB) telah melancarkan model terbaharu A-Class Sedan dan CLA Coupe pada majlis yang berlangsung di Beribi.
Hadir melancarkan kereta-kereta berkenaan ialah Pengerusi Eksekutif Jati Transport Sdn Bhd, Pengiran Anak Haji Ja’afar; Ketua Pegawai Eksekutif SCB, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim; Timbalan Ketua Misi Kedutaan Persekutuan Republik Jerman ke Brunei Darussalam, Thomas Heilmer dan Pengurus Eksekutif Jati Transport Sdn Bhd, Andrew Chiam.
Lebih 200 tetamu khas terdiri daripada pelanggan menyaksikan pelancaran dua buah kereta Mercedes-Benz baharu berkenaan.
Pengiran Aki Ismasufian berkata, “Kami sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Jati Transport pada pelancaran eksklusif Mercedes A-Class Sedan dan CLA Coupe malam ini untuk memberi pelanggan kami nilai pratonton terbaik untuk model Mercedes-Benz baharu.
“Kami percaya dengan mengadakan acara seperti ini akan dapat memberi manfaat kepada pelanggan kami dan memperkukuh lagi hubungan serta membolehkan kami memahami mereka tentang keperluan kewangan mereka dengan lebih baik,” tambahnya. Pengurus Besar Jati Transport Sdn Bhd, Alfred So pula berkata: “Kami dengan sukacitanya menghoskan acara malam ini bersama Bank Standard Chartered untuk membawakan A-Class Sedan dan CLA Coupe pertama kepada pelanggan bank.
“Acara seperti ini akan dapat meningkatkan lagi jenama antarabangsa ini.
Kami berharap akan dapat meneruskan perkongsian yang cemerlang ini dalam jangka masa yang panjang,” tambah beliau.
Orang ramai yang ingin melihat lebih dekat kedua-dua model baharu berkenaan bolehlah menghadiri sesi tontonan yang dibukakan kepada orang ramai di Beribi, esok.