Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Dua orang pelajar program HNTec in Electronic and Communication dan HNTec in Building Service Engineering dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) hari ini berlepas meninggalkan negara ke Kemboja untuk mengikuti program Mobiliti TVET ASEAN-ROK.
Hadir bagi mengucapkan selamat belayar kepada peserta program di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, ialah Pemangku Pengetua IBTE Kampus Satelit, Dr Suhaimi bin Haji Abdul Wahab.
Program Mobiliti TVET ASEAN-ROK yang dijalankan di Preahkosomak Polytechnic Institute, Kemboja itu akan disertai oleh Awang Mohammad Ikhmal Waffie bin Nordani dan Awang Hazif bin Haji Kefli.
Semasa temu bual media dengan Awang Mohammad Ikhmal Waffie yang mengikuti pengajian di Sekolah Penerbangan IBTE antara lain mengongsikan harapan beliau agar dapat menimba ilmu dan mengambil pengalaman daripada peserta negara-negara lain.
Beliau turut menjelaskan, ini merupakan kali pertama dia menyertai program seumpama ini di luar negara dan tidak menyangka akan mendapat peluang yang setentunya amat diharapkan oleh setiap peserta yang mengikuti pemilihan ini.

Dengan peluang yang diberikan ini, beliau akan berusaha menggunakannya untuk mendalami dan mempelajari lagi fungsi pemprograman dan pengekodan, dan ini setentunya akan menjadi cabaran dan langkah awal untuk berjaya.
Program yang dibiayai sepenuhnya oleh ASEAN-ROK Cooperation Fund itu diharapkan agar dapat mengurangkan jurang dalam kemahiran vokasional di ASEAN.
Sepanjang program ini nanti, peserta akan mengikuti pembelajaran teori dan praktikal selama 12 minggu termasuk empat minggu latihan dalam industri.
Antara lain objektif Mobiliti TVET ASEAN-ROK adalah untuk memperkukuh bidang teras antara program-program TVET di ASEAN, selain mengurangkan jurang kecekapan pekerjaan dalam kalangan negara ASEAN.
Di samping itu, ia juga diharap dapat menggalakkan pertukaran silang budaya antara negara anggota ASEAN seterusnya meningkatkan kerjasama di antara institusi–institusi di negara ASEAN.

