2 pelajar sekolah Arab wakili negara

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Satu pasukan penggodam muda dari Sekolah Arab Belait telah berlepas ke Hanoi, Vietnam untuk mewakili Negara Brunei Darussalam dalam ASEAN Cyberkids Camp 2019 yang bermula hari ini hingga 15 Ogos.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sekolah berkenaan diwakili oleh Dayang Siti Alwani Insyirah binti Haji Mustafa dan Awang Muhammad Akmal Hamzah bin Aminorddin yang merupakan pemenang TechKids Camp 2019 anjuran Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) awal tahun ini.

Kenyataan menyatakan, pertandingan pada tahun ini disertai 10 pasukan dari negara anggota ASEAN dan setiap negara diwakili satu pasukan yang merangkumi dua pelajar berusia antara tujuh dan 12 tahun.

Semasa pertandingan berkenaan, para peserta ditugaskan untuk menghasilkan projek pemprograman multimedia kreatif menggunakan perisian Scratch.

ASEAN Cyberkids Camp merupakan pertandingan tahunan yang bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran para pelajar dalam pemikiran kritikal, kerjasama dan kebolehan menggunakan ICT secara kreatif.

Ia telah menjadi salah satu aktiviti ideal peringkat ASEAN yang bertujuan untuk mempromosikan inisiatif-inisiatif di bawah Mesyuarat Menteri-menteri Telekomunikasi dan IT ASEAN (TELMIN) yang disokong Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Telekomunikasi dan IT ASEAN (TELSOM) di mana AITI terlibat secara aktif.

Brunei Darussalam telah berjaya menghoskan ASEAN Cyberkids Camp 2018 buat pertama kalinya pada September tahun lalu di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Wakil Negara Brunei Darussalam bagi ASEAN Cyberkids Camp 2019 yang berlangsung di Hanoi, Vietnam.