Thursday, May 8, 2025
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    2 pelajar UNISSA berlepas ke Oman

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JAN – Dua orang pelajar Sarjana Muda Bahasa Arab dan Terjemahan dari Fakulti Bahasa Arab (FBA), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) berlepas ke Kesultanan Oman, baru-baru ini, bagi mengikuti Kursus Intensif Bahasa Arab di Sultan Qaboos College for Teaching Arabic to Non-Native Speakers, Oman.

    Pelajar UNISSA berkenaan, Dayang Aiman Abadiyah binti Haji Spian dan Dayang Filzah Afiqah binti Chuchu, akan mengikuti kursus intensif selama lapan minggu bermula 11 Januari dan dijangka kembali ke tanah air pada 10 Mac nanti.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Dekan FBA, Dr Hajah Rafidah binti Haji Abdullah berserta pensyarah dan pegawai FBA.

    Pihak FBA sangat berbangga dengan pencapaian kedua-dua pelajar berkenaan dan berharap pengalaman yang bakal diperoleh di Oman dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya supaya menjadikan mereka sebagai individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.

    Penyertaan para pelajar dalam kursus berkenaan adalah bagi memenuhi tawaran daripada Kesultanan Oman dengan harapan memperkembangkan hubungan dan kerjasama antara kedua belah pihak.

    Dengan adanya kerjasama itu, pelajar dapat memanfaatkan peluang yang ada dalam meningkatkan mutu kemahiran dan keyakinan berbahasa Arab di persekitaran sebenar. Ia juga bertujuan bagi membimbing pelajar melangkah keluar dari zon selesa mereka di samping meningkatkan keyakinan diri untuk hidup berdikari di luar negara.

    Dr Hajah Rafidah bergambar bersama pelajar yang akan berlepas ke Oman di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda