Thursday, February 6, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    2 pelajar UNISSA ikuti pengajian di UIAM

    Oleh Syahmi Hassan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Dua orang pelajar dari Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam (FPPI), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah berlepas ke Malaysia, hari ini, untuk menyertai Program Pengajian Luar Negara selama setahun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

    Kedua-dua pelajar tersebut ialah Dayang Syaza Imane binti Haji Muliadey dan Dayang Najibah Farihah binti Haji Ramlee, merupakan pelajar daripada jurusan Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan di UNISSA.

    Sepanjang pengajian di UIAM, mereka akan mendalami kursus-kursus berkaitan dengan pengurusan pembangunan.

    Turut sama hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat belayar ialah Dekan FPPI, Profesor Madya Dr Anis Malik Thoha dan Timbalan Dekan FPPI, Awang Muhammed Sahrin bin Haji Masri.

    Menurut kenyataan UNISSA, pihak FPPI sangat bangga dengan pencapaian mereka dan percaya bahawa pengalaman di UIAM akan memperkayakan pengalaman akademik dan kemahiran mereka. Ini juga adalah langkah penting dalam memperluaskan horison pendidikan pelajar.

    Program Pengajian Luar Negara adalah sebahagian daripada usaha UNISSA untuk memberikan peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pengalaman pendidikan yang lebih luas dan memperluaskan pemahaman mereka tentang budaya dan sistem pendidikan di luar negara.

    Pelajar diharap dapat memanfaatkan pengalaman di UIAM untuk memperkayakan pengetahuan dan kemahiran mereka, serta membawa pulang pengalaman berharga itu ke Brunei untuk memajukan negara serta memberi manfaat besar dalam perkembangan akademik dan profesional mereka pada masa depan.

    Dayang Syaza Imane dan Dayang Najibah Farihah bergambar bersama Profesor Madya Dr Anis Malik Thoha dan Awang Muhammed Sahrin di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebelum berlepas ke Malaysia. – Gambar serahan UNISSSA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda