NAIROBI, KENYA, 12 MAC – Dua pelancong asing, warga Jerman dan Switzerland, terbunuh selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas dan terbalik di Taman Negara Maasai Mara Kenya, kata pihak polis hari ini.
Kemalangan berlaku selepas kenderaan itu tersangkut di dalam lumpur dan terbabas dari jalan raya kelmarin, kata polis.
Seorang pelancong lain cedera manakala dua lagi, seorang warga Jerman dan Switzerland, selamat. Mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan pelancong, tetapi belum jelas siapa yang memandu kenderaan tersebut.
Pelancong yang cedera telah dibawa menaiki helikopter ke hospital di ibu negara Kenya, Nairobi, kata Pengawal Tertinggi Maasai Mara, Stephen ole Mining. Jurucakap polis, Resila Onyango mengatakan bahawa kemalangan itu sedang disiasat.
Taman Negara Maasai Mara merupakan destinasi pelancongan yang popular dan menampilkan migrasi haiwan liar tahunan seperti lembu gnu dari Serengeti, Tanzania. Kesan perubahan iklim dirasai di taman yang luas itu, dengan sedikit tumbuhan hidup, setelah tidak ada hujan yang dicatat pada dua tahun terakhir di kawasan itu. – AP