2 pemenang terima anugerah geran SCB

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Standard Chartered (SCB) menganugerahkan geran berjumlah keseluruhan $15,000 kepada dua pemenang bagi Program Belia Membasmi Kemiskinan dengan kerjasama Futuremakers dan Society for Community Outreach and Training (SCOT) di mana anugerah geran disampaikan pada majlis yang berlangsung di Dewan Indah, Kelab Rekreasi Diraja Brunei, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian anugerah kepada dua pemenang tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Kemari Farm menerima geran berjumlah $10,000 bagi projek yang melibatkan penyertaan usahawan pertanian belia di mana ia bertujuan untuk menyediakan peluang bagi golongan belia untuk memasuki Pusat Pembangunan Belia bagi mempelajari kemahiran pertanian untuk menjana peluang-peluang pekerjaan.

Matlamat projek itu ialah untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya pertanian dan membangunkan industri pertanian dengan hasrat untuk melahirkan sebuah ladang yang dikendalikan oleh golongan belia di Pusat Pembangunan Belia.

Sementara itu, geran berjumlah $5,000 telah dianugerahkan kepada BenchLab di mana ia mengetengahkan projek perkhidmatan urut dari rumah yang disediakan oleh golongan yang kurang bernasib baik iaitu Ruma-Ke-Ruma.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan Pengiran Aki Ismasufian bergambar ramai dengan kumpulan pemenang anugerah geran iaitu BenchLab dan Kemari Farm.

Ia akan mengenal pasti calon-calon yang bersesuaian dan akan meningkatkan tahap kompetensi mereka dalam perkhidmatan mengurut di mana mereka akan menyediakan perkhidmatan mengurut dari rumah bagi para pelanggan serta menjana pendapatan.

Sebuah aplikasi akan digunakan untuk memudahkan proses selain langkah keselamatan dan kemudahan bagi semua pihak yang terlibat khususnya tukang urut, pelanggan dan Ruma-Ke-Ruma. Konsep itu terbukti berjaya di Indonesia dan ia dipercayai juga akan dapat memperoleh kejayaan di Brunei.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Brunei, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim berkata menerusi Futuremakers iaitu inisiatif global untuk menangani ketidaksaksamaan dan untuk mempromosikan penglibatan ekonomi yang lebih besar, ia bermatlamat untuk memperkasa generasi akan datang untuk belajar, menjana dan membangun menerusi program-program yang menumpukan kepada pendidikan, keusahawanan dan kebolehpasaran, menyokong golongan muda dari keluarga yang kurang bernasib baik.

Dalam hubungan itu, beliau menyatakan harapan pihaknya untuk menggunakan kemahiran unik mereka bagi mengongsi kemahiran dan membangunkan kapasiti golongan muda untuk mengakses pekerjaan dan peluang-peluang ekonomi bagi membantu merapatkan jurang ketidakseimbangan.

Sebanyak 50 peserta terdiri daripada 10 kumpulan menyertai bengkel dan forum selama tiga hari termasuk sehari di Pusat Pembangunan Belia untuk berinteraksi dengan golongan belia bagi memahami mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi oleh golong belia dalam memperoleh peluang bagi mereka. Daripada 10 buah kumpulan itu, lima buah kumpulan dipilih ke pusingan seterusnya bagi membentangkan idea mereka sebelum dua buah kumpulan dipilih untuk menerima geran berkenaan.

Pemenang geran berkenaan akan dipantau selama tempoh 12 bulan dan akan ditawarkan bimbingan pakar perusahaan sosial tempatan dan serantau untuk membantu idea perniagaan mereka untuk terus berkembang.