Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    2 pendaki wanita Brunei tawan puncak Gunung Raung

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Dua pendaki wanita Brunei yang mewakili Pasukan Petualang Rimba iaitu Aida Saidin dan Rose Azahari berjaya mendaki ke puncak Gunung Raung iaitu salah satu gunung berapi yang paling ekstrem dan mencabar di Indonesia, baru-baru ini.

    Ekspedisi berkenaan bermula di Surabaya dengan para pendaki bergerak ke Kalibari, Java Timur, untuk memulakan Misi Ekspedisi Gunung Raung. Perjalanan itu mengambil masa tiga hari dan dua malam yang menguji ketahanan mental dan ketahanan fizikal para pendaki.

    Walaupun keadaan cuaca adalah baik pada permulaan pendakian berkenaan, para pendaki berhadapan dengan hujan lebat dan ribut petir di pertengahan pendakian mereka.

    Aida Saidin dan Rose Azahari terus tekun dan tekan melakukan pendakian dengan penuh semangat berpasukan menghadapi segala cabaran dan akhirnya berjaya tiba di puncak Gunung Raung.

    Pencapaian itu menandakan sebuah mercu tanda signifikan bagi Pasukan Petualang Rimba, menunjukkan dedikasi pasukan berkenaan kepada penerokaan, pengembaraan serta mengejar kecemerlangan peribadi dan kolektif.

    Pasukan Petualang Rimba dalam kenyataannya, merakamkan perasaan bangga akan pencapaian itu, menekankan misi ekspedisi berkenaan untuk mempromosikan kedayatahanan, kerja berpasukan dan menghormati alam semula jadi melalui pelancongan pengembaraan bertanggungjawab.

    Wakil pasukan, Aida Saidin menyatakan pendakian Gunung Raung bukan semata-mata untuk sampai ke puncak tetapi ia adalah mengenai mengatasi batasan serta menghayati semangat pengembaraan sebenar.

    Kejayaan pendakian Gunung Raung itu menjadi bukti keberanian dan ketahanan pada pendaki serta menjadi sebagai inspirasi kepada pengembara lain serata rantau.

    Semua di atas: Antara suasana semasa pendakian tersebut. – Gambar-gambar serahan Petualang Rimba team

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda