PARIS. 23 OKT – Pihak berkuasa maritim Perancis mengeluarkan mayat dua pendatang dari Selat Inggeris hari ini, membawa jumlah mangsa terbunuh dan hilang di perairan Perancis setakat tahun ini kepada lebih 50 orang.
Pihak berkuasa berkata 46 orang lain telah diselamatkan, selepas percubaan gagal untuk menyeberangi jalan air berbahaya antara Perancis dan England menggunakan bot yang sarat dengan muatan.
Wilayah maritim Perancis yang mengawasi perairan Perancis di Selat berkata tahun ini merupakan tahun yang paling teruk bagi pendatang yang cuba menyeberangi selat menggunakan bot kecil sejak angka mula meningkat pada 2018.
Sebelum kejadian terbaharu, wilayah itu telah mengira 49 pendatang maut atau hilang di laut ssepanjang tahun 2024. Kematian baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 51.
Operasi menyelamat hari ini dilancarkan selepas jaket keselamatan ditemui di laut, mendorong beberapa perkhidmatan feri komersial dihentikan sementara di laluan sibuk antara pelabuhan di utara Perancis dan pantai selatan UK, kata wilayah itu.
Dua kapal penyelamat Perancis dihantar ke kawasan itu dan disokong oleh helikopter tentera laut telah menyelamatkan 48 orang yang berdepan kesukaran di perairan itu, kata kenyataan dari wilayah itu.
Daripada jumlah itu, dua orang tidak memberikan respons, katanya. Percubaan dilakukan untuk menyelamatkan mereka tetapi kematian mereka disahkan oleh pasukan perubatan yang kembali ke darat di pelabuhan Calais utara Perancis, kata wilayah itu.
Penggunaan bot kecil yang terlalu sesak ketika cuba menyeberangi laut sering menyebabkan bot terbalik, pecah dan tenggelam. Bot kembung yang dibina untuk membawa tidak lebih daripada 20 orang sering digunakan untuk pelayaran dengan tiga kali ganda jumlah penumpang, dan kadangkala lebih ramai lagi, kata wilayah itu. – AP