Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah membuat pendakwaan terhadap dua perniagaan, iaitu Iman Bridal and Atelier dan Haji Yusof Tahir Trading Company atas kesalahan gagal membayar caruman pekerja di bawah undang-undang TAP.
Pemilik Iman Bridal and Atelier telah mengaku bersalah kerana gagal membuat pembayaran caruman Skim TAP, Skim SCP dan SPK seperti yang diperuntukkan di bawah Bab 23 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167), Bab 26 Akta Amanah Pencen Caruman Tambahan (Penggal 276) dan Bab 31 Akta Skim Persaraan Kebangsaan (Penggal 273) bagi pekerja-pekerjanya dalam tempoh yang ditetapkan.
Sehubungan itu, Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak $3,000 ke atas perniagaan tersebut, dan mengarahkan perniagaan itu membayar denda serta keseluruhan caruman Skim TAP, Skim SCP dan SPK yang tertunggak termasuk dividen terakru berjumlah $16,750.97.
Dalam kes berasingan, pemilik Haji Yusof Tahir Trading Company turut mengaku bersalah atas kegagalan membuat pembayaran caruman Skim TAP dan Skim SCP seperti yang diperuntukkan dalam Bab 23 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167) dan Bab 26 Akta Amanah Pencen Caruman Tambahan (Penggal 276) bagi pekerja-pekerjanya dalam tempoh yang ditetapkan.
Dalam hal ini, Mahkamah Majistret Kuala Belait telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak $1,600 dan mengarahkan syarikat tersebut untuk membayar denda serta keseluruhan caruman Skim TAP dan Skim SCP yang tertunggak termasuk dividen terakru berjumlah $89,881.66.
Di bawah Bab 26 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167), Bab 29 Akta Amanah Pencen Caruman Tambahan (Penggal 276) dan Bab 35 Akta Skim Persaraan Kebangsaan (Penggal 273), jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Bagi memastikan kesejahteraan ahli TAP sentiasa terpelihara, TAP mengingatkan para majikan untuk sentiasa memastikan caruman dibayar sebelum 15 pada bulan berikutnya bagi mengelakkan denda lewat pembayaran yang termasuk caj kerugian dividen dan caj perkhidmatan.
Bagi isu-isu berkaitan hal ehwal penguatkuasaan seperti tidak berdaftar dan tiada pembayaran caruman, para pekerja adalah dinasihatkan untuk membuat aduan dan mengongsikan maklumat melalui hotline Unit Penguatkuasaan TAP di talian 730 2929 ataupun melalui e-mel di alamat enforcement@tap.com.bn.
Pekerja juga boleh mengunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan, menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 272 2929 semasa waktu bekerja, atau membuat aduan melalui portal perkhidmatan online TAP (e-Amanah) ataupun melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn.

