TOKYO, 19 MEI – Pihak berkuasa Jepun memberi amaran kepada penduduk supaya berwaspada dengan beruang liar di timur laut negara itu selepas beberapa orang diserang, termasuk pegawai polis.
Beruang itu, berukuran kira-kira 50 sentimeter tinggi, kelihatan di kawasan itu, termasuk Akita dan Prefektur Fukushima.
Dua pegawai polis diserang kelmarin di bandar Kazuno di Akita ketika menemui mayat seorang lelaki yang hilang, menurut laporan media Jepun. Lelaki itu telah pergi mencari rebung di pergunungan beberapa hari sebelumnya di mana dia ditemui mati di kawasan itu dengan kesan luka. Masih tidak jelas sama ada dia mati akibat serangan beruang.
Para pegawai berada dalam keadaan serius, walaupun tidak mengancam nyawa, kata laporan.
Sebagai tindak balas, beberapa kawasan hutan telah ditutup di Kazuno “hingga satu masa yang tidak ditentukan”, kata pegawai dalam satu kenyataan.

Rakaman berita menunjukkan pegawai polis meletakkan papan tanda memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi kawasan pergunungan di mana beruang itu dilihat.
Pada hujung minggu, kereta peronda dan helikopter telah dikerahkan untuk mengesan beruang berkenaan.
Polis Wilayah Akita telah menggesa orang ramai supaya memiliki dan membawa loceng dan alat penghasil bunyi lain untuk menakutkan beruang sekiranya berlaku pertembungan dan turut menasihatkan untuk tidak keluar pada waktu malam.
Beribu-ribu beruang hitam Asia hidup di alam liar di seluruh Jepun. Serangan beruang telah meningkat kerana sempadan antara habitat beruang dan kediaman manusia semakin kabur.
Kekurangan biji oak, beri dan makanan lain, yang mungkin berkaitan dengan perubahan iklim, juga dipersalahkan atas peningkatan pertemuan dengan beruang. – AP

