Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    2 premis lakukan kesalahan berulang

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Dua buah premis perniagaan telah dikeluarkan kompaun oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi kerana melakukan kesalahan berulang di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya sepanjang bulan lalu.

    Menurut JPES sebuah kedai di Kampung Selayun didenda kompaun $500 kerana telah melakukan kesalahan di bawah Bab 3B iaitu menjual melebihi harga dan bayaran maksimum yang ditetapkan oleh pengawal harga.

    Manakala pasa raya di Gadong pula didenda $700 kerana telah melakukan kesalahan di bawah Bab 5 iaitu tidak mempamerkan harga pada barangan dan/atau memaparkan tanda harga yang tidak selaras dengan harga dalam sistem pembayaran.

    JPES menyatakan, dapatan itu adalah hasil daripada aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan secara rutin oleh jabatan tersebut dan berikutan aduan pengguna yang diterima melalui saluran rasmi.

    Di samping itu, sebanyak 13 Notis Amaran telah dikeluarkan kepada 11 buah premis perniagaan sepanjang Julai dengan majoriti kesalahan adalah ketidakpatuhan terhadap peraturan tanda harga di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 seperti gagal mempamerkan tanda harga bagi sebahagian barangan yang dijual dalam premis perniagaan dan mempamerkan tanda harga yang mengelirukan iaitu tanda harga yang tidak selaras dengan harga di dalam sistem pembayaran.

    Sehubungan itu, para peniaga sentiasa diingatkan untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya dengan melaksanakan amalan perniagaan yang beretika.

    Gambar menunjukkan barangan yang dijual tanpa mempamerkan tanda harga. – Gambar serahan JPES
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda