BANGKOK, 1 Mei – Dua raja dadah Malaysia yang amat dikehendaki akhirnya ditahan pihak berkuasaThailand minggu lalu.
Suspek yang digelar sebagai Mr T atau Malaysian Iceman daripada Johor dan Mr G daripada Pulau Pinang dianggap sebagai anggota penting sindiket dadah antarabangsa yang bertanggungjawab dalam penyeludupan ratusan kilogram dadah ke Malaysia.
Mereka yang menyedari mereka menjadi buruan pihak berkuasa menggunakan pelbagai tipu helah yang mereka pelajari daripada buku untuk mengelak daripada dikesan, demikian menurut pelbagai sumber polis Thailand yang mengekori kedua-duanya sejak berbulan-bulan.
“Misalnya bagi mengelak daripada dikesan, Mr T sengaja menghidupkan telefon bimbitnya dan meninggalkannya di rumah kosongnya di Sadao semasa pergi ke Chiang Rai untuk memesan dadah.
“Dia juga meninggalkannya rumahnya dengan lampu dan sistem penghawa dingin terpasang untuk memberitahu kononnya dia sentiasa berada di rumahnya,” kata satu sumber kepada Bernama.
Sumber itu yang enggan dikenali berkata semasa berada di Chiang Rai di utara Thailand, suspek berumur 64 tahun itu hanya menggunakan telefon awam dan telefon bimbit milik rakan-rakannya bagi menghubungi isterinya yang berketurunan Thai yang tinggal bersama anak lelaki mereka yang berusia 16 tahun di Hatyai.
“Dia tidak mahu orang tahu pergerakannya semasa pergi ke Chiang Rai,” kata sumber itu dan menambah suspek menyedari telefon bimbitnya telah dipantau oleh pihak berkuasa untuk mengawasi perbualannya. Namun tanpa pengetahuannya, pihak berkuasa telah mengawasinya sejak identitinya terbongkar hasil siasatan ke atas dua rakyat di Sadao pada Mac tahun lalu, susulan percubaan mereka menyeludup 282 kilogram ‘Ice’ ke Malaysia.
Siasatan ke atas kedua-duanya membawa kepada hasil maklumat berguna berkaitan Mr T yang merupakan pemilik dadah tersebut dan peranannya dalam satu lagi kes penyeludupan dadah ke Malaysia.
“Pihak berkuasa sentiasa mengekori pergerakan terbaharunya ke Chiang Rai.
“Menurut kedua-dua individu Malaysia itu, Mr T bertanggungjawab sekurang-kurangnya bagi lima penyeludupan ke Malaysia, yang setiap satu melibatkan lebih 100 kilogram Ice ke lokasi yang tidak diberitahu, sebelum dadah-dadah itu dibawa pula ke negara ketiga. – Bernama