BANGKOK, 29 Mac – Dua lelaki Malaysia ditahan setelah polis Thailand memperluaskan siasatan mereka terhadap penemuan 700 kilogram (kg) dadah jenis ‘Ice’ (Crystal Methamphetamine) dari sebuah lori yang mengangkut nanas dan tembikai di Chumphon, selatan Thailand semalam.
Ketua Biro Pencegahan dan Kawalan Narkotik Thailand (NSB), Lt Jen Sommai Kongvisaisuk berkata, dua lelaki berumur 49 dan 34 tahun itu, dipercayai anggota sindiket dadah transnasional ditangkap di sebuah rumah di selatan sempadan Hatyai kira-kira 6:30 petang (waktu tempatan).
“Dua lelaki Malaysia itu ditahan ketika sedang memunggah dadah daripada lori itu ke sebuah rumah di Hatyai,” katanya kepada Bernama di sini dan menambah bahawa polis turut menahan seorang lelaki Thailand berumur 45 tahun yang disyaki rakan subahat tempatan sindiket itu.
Dia berkata rakyat Malaysia datang ke Hatyai untuk mengambil dadah sebelum cuba menyeludupnya ke sempadan Malaysia.
Usaha mengesan anggota lain sindiket dadah transnasional itu bermula selepas pihak berkuasa menghentikan lori berkenaan di pusat pemeriksaan keselamatan di Chumphon kira-kira 1:30 pagi waktu tempatan semalam dan menemukan dadah disembunyikan di sebalik buah-buahan tersebut.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak merampas dadah itu, sebaliknya membenarkan pemandu lori yang membawa dadah itu meneruskan perjalanannya ke Hatyai, dengan anggota polis menyamar mengekori dengan jarak selamat, kata Sommai.
“Mereka (polis) memutuskan untuk membiarkan pemandu meneruskan perjalanan ke destinasi yang ingin dituju (Hatyai) kerana mereka mahu menangkap anggota lain sindiket itu,” katanya.
Sebaik sahaja lori terbabit tiba di Hatyai untuk menurunkan muatan haram itu, anggota polis yang menyamar menunggu dengan sabar sebelum bertindak menahan rakyat Malaysia dan warga Thailand itu.
Polis akhirnya menangkap dua rakyat Malaysia berkenaan ketika mereka sedang sibuk memunggah dadah ke rumah itu, kata ketua NSB dan menambah bahawa rampasan 700kg Ice merupakan antara kejayaan terbesar agensi itu tahun ini. – Bernama