Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Dua orang adik beradik berbangsa Iban, Simpsons Anak Sakah, 24 tahun dan Rachel Anak Sakah, 22 tahun melafazkan Dua Kalimah Syahadah di hadapan Pegawai Pengislaman dari Pejabat Unit Dakwah, Daerah Belait kelmarin.
Majlis Pengislaman yang diadakan di Dewan Serbaguna, Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait itu disaksikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Ugama, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Awang Mohd Noorsuffian bin Haji Yahya.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan seterusnya melafazkan Dua Kalimah Syahadah oleh dua saudara berkenaan yang kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Aryan Simpsons bin Sakah dan Raeesa Rachel binti Sakah.
Majlis turut diserikan dengan Dikir Asraqal dan penyampaian cenderahati yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Penolong Pegawai Ugama, Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait, Awang Abdul Khaliq bin Kamree.
Statistik Unit Pengislaman Pejabat Unit Da’wah Daerah Belait mencatatkan seramai 74 orang telah memeluk agama Islam dari awal tahun 2024 sehingga kini.
Suasana semasa majlis pengislaman berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PDI