MADRID, 28 April – Dua orang pejuang jihad yang disyaki dan diberkas di Sepanyol telah mengaku berada di lapangan terbang Brussels pada ketika kejadian serangan maut yang berlaku pada Mac 2016, tetapi menafikan penglibatan mereka, menurut seorang jurucakap mahkamah semalam.
Mohamed Lamsalak dan Youssef Ben Hammou diberkas awal minggu ini dalam sebahagian penyiasatan bersama antara polis Sepanyol dan Belgium.
Para pegawai telah merampas senjata api, dadah dan wang tunai dalam serbuan berkaitan operasi itu.
“Kedua-dua lelaki itu mengaku mereka berada di lapangan terbang apabila berlaku pengeboman. Mereka menafikan penglibatan mereka dalam serangan itu,” kata jurucakap Mahkamah Kebangsaan, yang pakar dalam kes-kes pengganasan.
Belgium dalam langkah berwaspada sejak 22 Mac tahun lalu apabila pengebom berani mati menyerang lapangan terbang Zaventern dan stesen metro Maalbeek, yang mengorbankan 32 orang dan lebih 320 orang lagi cedera.
Serangan itu diketuai oleh sebuah sarang kumpulan Islam IS yang juga bertanggung jawab bagi pembunuhan beramai-ramai di Paris pada November 2015.
Jurucakap itu mengatakan penyiasatan telah membuktikan lelaki-lelaki itu berada di Brussels dari 16-23 Mac.
“Mereka berkata mereka ke Brussels untuk membeli kereta,” ujarnya. Para penyiasat sedang berusaha bagi memastikan jika wang itu dihasratkan bagi pembelian tersebut, telah digunakan untuk membiayai serangan itu atau ia digunakan bagi motif lain.”
Kedua-dua lelaki itu yang didakwa kerana menganggotai pertubuhan pengganas, mengakui bahawa ketika berada di Brussels mereka telah melawat saudara sepupu dua lelaki adik-beradik yang meletupkan diri mereka dalam serangan yang diselaraskan.
Para penyiasat sedang meneliti beberapa dokumen yang ditemui di Hammou, cetakan peta Google yang menunjukkan laluan dari Jerman ke Brussels yang diambil oleh Salah Abdeslam, satus-satunya yang terselamat dari kumpulan pejuang yang mendalangi serangan di Paris yang mengorbankan 130 orang. – AFP