PARIS, 30 OKT – Dua lelaki disyaki terlibat dalam kes kecurian barang kemas di Muzium Louvre baru-baru ini telah ditahan untuk siasatan lanjut, menurut siaran stesen penyiaran Perancis, BFMTV kelmarin.
Kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada malam Sabtu dan ‘sebahagiannya mengaku’ terlibat dalam jenayah itu, kata Pendakwa Raya Paris, Laure Beccuau. Bagaimanapun, permata yang dicuri masih belum dijumpai, katanya.
Seorang suspek ditahan di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris ketika cuba menaiki penerbangan antarabangsa, manakala seorang lagi ditahan tidak lama kemudian di kawasan pinggir utara Paris.
Beccuau berkata penyiasat tidak menolak kemungkinan wujud rangkaian lebih besar di sebalik empat suspek yang dikenal pasti melalui rakaman kamera keselamatan, dengan lebih 150 pemeriksaan forensik telah dijalankan.
Lebih 100 anggota penyiasat digerakkan bagi menjejaki suspek dan memulihkan barang kemas yang hilang, menurut media tempatan.
Muzium berkenaan dibuka semula tiga hari selepas kejadian itu, yang melibatkan barang kemas bernilai kira-kira AS$102 juta. – Bernama


