Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 DIS – Dua syarikat dan tujuh individu telah dikenakan denda kompaun oleh bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Brunei dan Muara kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian (Penggal 30) baru-baru ini.
Kedua-dua buah syarikat berkenaan masing-masing dikenakan denda kompaun sebanyak $2,000 dan $1,000. Manakala tujuh individu masing-masing dikenakan denda $500, $300 dan $100.
Manakala dalam operasi berasingan Jabatan Daerah Brunei dan Muara bersama Jabatan Bandaran, Bandar Seri Begawan juga telah mengeluarkan kompaun dua buah syarikat lagi kerana melakukan kesalahan di bawah Bab 12 (1) (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian (Penggal 30).
Syarikat-syarikat tersebut diarahkan membersihkan tempat berkenaan dan juga diberi tempoh tujuh hari untuk melunaskan denda berkenaan.
Jika gagal, kes akan dibawa ke mahkamah di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30) iaitu jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman tidak melebihi $30,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Pihak Jabatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai pembuangan sampah yang menyalahi undang-undang dengan menyertakan alamat lokasi berserta gambar-gambar melalui pesanan whatsapp 8321581.