Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Dua buah syarikat telah dikenakan kompaun oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong kerana didapati melanggar Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian 2021 (Penggal 30), disebabkan membuang sampah di tempat awam.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Daerah Tutong, di sini, menyatakan daripada pemeriksaan dan rondaan oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong sepanjang Ogos, dua kompaun terhadap dua buah syarikat telah dikeluarkan setelah didapati melanggar Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30).
Syarikat-syarikat telah dikenakan denda kompaun sebanyak $2,000 di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021 dan dikehendaki untuk menjelaskan kompaun dalam 7 hari. Jika gagal membayar denda berkenaan dalam masa 7 hari daripada tarikh kompaun dikeluarkan maka individu itu boleh dihadapkan ke mahkamah.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $2,000 dan tidak melebihi $10,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Kenyataan menyatakan lagi bahawa orang ramai dan masyarakat umum disarankan memberikan kerjasama dan seharusnya peka mengenai kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian (Penggal 30).
Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong mengingatkan orang ramai, pihak syarikat dan pemilik premis perniagaan supaya sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan premis-premis perniagaan dan juga kawasan awam dengan tidak membuang, melonggokkan, menumpahkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah-sarap di tempat awam.



