JAKARTA, 23 OGOS – Mahkamah di Indonesia telah memerintahkan dua syarikat membayar ribuan dolar sebagai pampasan kepada keluarga lebih 200 orang kanak-kanak yang terbunuh atau terjejas akibat sirap batuk tercemar.
Negara itu pada 2022 mencatatkan peningkatan kematian dan masalah kesihatan kanak-kanak yang dikaitkan dengan sirap itu.
Lebih 10 buah keluarga mangsa menyaman kerajaan, kementerian kesihatan dan syarikat yang dituduh membekalkan produk itu, menuntut hampir AS$200,000 sebagai ganti rugi bagi setiap kematian dan AS$150,000 bagi mereka yang cedera.
Dalam keputusan lewat kelmarin, mahkamah daerah Jakarta Pusat memerintahkan firma-firma itu membayar bayaran yang jauh lebih rendah sebanyak AS$3,200 bagi setiap kematian dan AS$3,800 bagi setiap kecederaan.
“Sungguh menyedihkan melihat keputusan itu. Pampasan adalah jauh lebih rendah,” kata Nedy Amardianto, yang kehilangan anak perempuannya Aisha yang berusia 10 bulan akibat masalah buah pinggang akut.
“Kehilangan seorang kanak-kanak tidak boleh digantikan dengan wang. Tetapi kami berharap hakim akan menyebelahi kami.” – AFP


