Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Dua buah syarikat perniagaan di Kampung Panchor Dulit, Tutong, telah dikeluarkan kompaun oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong kerana didapati melanggar Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021, iaitu membuang sampah di tempat awam, hari ini.
Jabatan Daerah Tutong dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan bahawa kedua-dua buah syarikat berkenaan telah dikenakan denda kompaun sebanyak $500 dan dikehendaki untuk menjelaskan kompaun dalam tempoh tujuh hari.
Jika gagal membayar denda berkenaan, syarikat itu boleh dihadapkan ke mahkamah di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $2,000 dan tidak melebihi $10,000.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.



