Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Selaras dengan usaha Kementerian Kewangan dan Ekonomi untuk meningkatkan tahap pematuhan syarikat-syarikat, dua syarikat tempatan telah diarahkan untuk membayar denda setelah wakil syarikat-syarikat tersebut mengaku bersalah di Mahkamah Majistret kerana gagal mematuhi Seksyen 52 (1) Akta Cukai Pendapatan (Penggal 35).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, hari ini, pada September 2021, syarikat pertama telah dikenakan denda sebanyak $5,000 kerana gagal menghadapkan penyata cukai pendapatan bagi tahun-tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.
Kenyataan menyatakan bahawa pada November 2021, syarikat kedua telah dikenakan denda sebanyak $3,000 kerana gagal menghadapkan penyata-penyata cukai pendapatan bagi tahun-tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2016, 2017 dan 2018.
Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan itu sukacita ingin mengingatkan syarikat-syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat, Penggal 39 untuk menghadapkan penyata cukai pendapatan masing-masing selewat-lewatnya pada 30 Jun bagi tahun taksiran yang berkenaan.
Kegagalan untuk menghadapkannya adalah satu kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan, Penggal 35 yang mana jika didapati bersalah boleh dikenakan denda sebanyak $10,000 dan jika gagal membayar akan dipenjarakan selama 12 bulan.