Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Dua orang perempuan warganegara asing yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran berjaya ditahan oleh pegawai dan keanggotaan dari Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat berserta Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kelmarin di salah sebuah bilik penginapan di kawasan Gadong.
Serbuan berkenaan melibatkan aktiviti yang tidak bermoral iaitu dipercayai menjalankan kegiatan menawarkan khidmat seks.
Susulan daripada pemeriksaan ke bilik-bilik berkenaan pihak polis berjaya menemui beberapa bahan bukti seperti wang tunai, kepingan kondom, minyak pelincir dan telefon bimbit.
Suspek yang ditahan berserta kesemua bahan bukti segera dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah bagi menjalani siasatan lanjut.
Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 294A Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 atas kesalahan menawarkan khidmat seks.
PPDB akan sentiasa membuat pemantauan dan risikan serta akan mengambil tindakan pada setiap kegiatan jenayah yang menyalahi undang-undang di negara ini.