Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan tinggal melebihi tempoh di negara ini.
Ketua Majistret Mohammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menjatuhkan hukuman itu ke atas Usman Banlo, 37, yang mengaku bersalah tinggal di negara ini selama 562 hari selepas pas kerjanya mansuh pada 6 Ogos 2015.
Pegawai Pendakwa Imigresen, Pengiran Norariffin bin Pengiran Haji Hashim memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh memasuki negara ini melalui Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh pada 9 November 2014 di bawah pas kerja Syarikat Graphic Point namun pada 3 Ogos 2015, majikannya telah membuat laporan yang tertuduh telah melarikan diri.
Dalam bilik mahkamah yang sama, Suciyanti, 37, dari Indonesia dijatuhi hukuman tiga bulan penjara dan denda $1,500 atas pertuduhan yang sama.
Jika gagal membayar denda, dia diarahkan untuk menjalani tambahan tiga bulan penjara.
Defendan didakwa tinggal selama 105 hari di negara ini setelah pas lawatannya mansuh pada 6 November 2016.
Dia memasuki negara ini melalui Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah pada 23 Oktober 2016, dan diberi pas melawat untuk dua minggu.
Defendan didapati gagal untuk memperbaharui tempoh pas lawatannya. Kedua-dua defendan diberkas dalam serbuan yang dijalankan di rumah sewa di Kampung Kianggeh pada 19 Februari 2017.