Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    20 ahli PGGMB sertai persidangan di Bangkok

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Rombongan terdiri daripada 20 orang ahli Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) hari ini berlepas ke Thailand bagi menghadiri Persidangan Majlis Guru-guru ASEAN +Korea (ACT+1) ke-38 yang akan diadakan di Berkeley Hotel Pratunam, Bangkok, Thailand.

    Persidangan yang berlangsung dari 6 hingga 8 September itu diketuai oleh Yang Dipertua PGGMB, Haji Alim bin Haji Othman.

    Di antara atur cara persidangan berkenaan termasuk mesyuarat pemimpin-pemimpin ACT+1 ke-38, makan malam menyambut delegasi, majlis pembukaan rasmi ACT+1 ke-38, pembentangan ucaptama, perbincangan panel, laporan negara bagi setiap negara yang menyertai persidangan, sesi selari, Malam Persahabatan dan Majlis Penutup Rasmi Konvesyen ACT+1 ke-38.

    Menurut Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri, persidangan ACT+1 memberikan impak besar kepada landskap pendidikan di mana ia mengetengahkan perkongsian amalan terbaik pengurusan serta perkembangan pendidikan di negara-negara ASEAN.

    Menerusi penyertaan dalam persidangan berkenaan, PGGMB dapat mempelajari dan mengadaptasikan hasil-hasil di persidangan yang dihadirinya setiap tahun.

    Beliau berharap persidangan tahun ini juga akan memberikan pelbagai ilmu untuk memperkasakan budaya persekolahan supaya lebih kondusif dan efektif.

    Persidangan ACT+1 ke-38 yang membawa tema, Mempromosikan Persekolahan Gembira dan Mampan dalam Pendidikan akan menyaksikan Negara Brunei Darussalam membentangkan dua tajuk dalam persidangan berkenaan.

    Tajuk-tajuk yang bakal dibentangkan ialah Pendekatan Inovatif kepada Pembelajaran dan Pengajaran menerusi Integrasi Teknologi Digital dan Pentingnya Sistem Penilaian Pembelajaran.

    Rombongan PGGMB bergambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda