Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    20 anggota tentera terkorban dalam nahas pesawat

    ISTANBUL, 12 NOV – Turkiye hari ini melaporkan bahawa semua 20 orang yang berada dalam pesawat kargo tentera yang terhempas di Georgia ketika dalam perjalanan pulang dari Azerbaijan telah meninggal dunia.

    Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Ganja di Azerbaijan bahagian barat pada petang kelmarin tetapi terhempas tidak lama selepas melintasi sempadan ke Georgia bahagian timur, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan selepas kejadian itu.

    Pesawat tersebut membawa 20 orang termasuk anak kapal.

    “Rakan-rakan seperjuangan kami yang berani telah terkorban pada 11 November 2025 akibat nahas pesawat kargo tentera C-130 kami, yang berlepas dari Azerbaijan untuk kembali ke Turkiye,” kata Menteri Pertahanan, Yasar Guler, dalam kenyataan yang disiarkan di akaun X beliau bersama 20 gambar mangsa yang terkorban.

    Turkiye belum mendedahkan punca kemalangan, tetapi rakaman dramatik yang diambil oleh saksi dan disiarkan oleh media Azerbaijan menunjukkan pesawat berpusing secara mendatar bersama beberapa serpihan ketika ia jatuh.

    Kementerian Dalam Negeri Georgia mengesahkan pesawat itu terhempas di kawasan Sighnaghi, ‘kira-kira lima kilometer dari sempadan negara Georgia dengan Azerbaijan.’

    Pengawal trafik udara Georgia berkata pesawat itu hilang dari radar tidak lama selepas memasuki ruang udaranya ‘tanpa menghantar isyarat kecemasan’ dan pihak berkuasa hanya dimaklumkan mengenai kemalangan itu oleh perkhidmatan kecemasan.

    Pesawat kargo tentera C-130 Hercules itu dibangunkan oleh pengeluar Amerika Syarikat, Lockheed Martin. – AFP

    Bangkai pesawat kelihatan di tapak nahas pesawat kargo tentera C-130 Turkiye di kawasan Sighnaghi berhampiran sempadan Georgia-Azerbaijan, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda