Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    20 belia berlepas ke Jepun sertai JENESYS

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Rombongan seramai 20 belia yang terdiri daripada 10 orang penuntut dari Universiti Teknologi Brunei (UTB), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Politeknik Brunei serta 10 orang belia yang bertugas di sektor perubatan telah berlepas ke Jepun petang tadi bagi menyertai Program JENESYS 2016.

    Rombongan berkenaan merupakan kumpulan ketujuh di bawah program kerajaan Jepun berkenaan yang menjemput seramai 250 orang warga Brunei untuk melawat ke Jepun sehingga Mei 2017 nanti.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, tema bagi kumpulan kali ini adalah ‘Industri Perubatan’ dan salah satu tarikan program kali ini adalah lawatan ke Pusat Perubatan Kameda, di Wilayah Chiba.

    Hospital tersebut merupakan salah satu pengasas dalam pelancongan perubatan di Jepun yang menerima ramai pesakit dari luar negara. Ia merupakan hospital Jepun pertama yang diiktiraf oleh Joint Commision International, badan pengiktirafan Amerika Syarikat bagi organisasi-organisasi penjagaan kesihatan.

    Rombongan yang menyertai Program JENESYS bergambar ramai sebelum berlepas ke Jepun.
    Rombongan yang menyertai Program JENESYS bergambar ramai sebelum berlepas ke Jepun.

    Rombongan berkenaan juga akan melawat pusat jagaan orang-orang tua untuk mempelajari mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi oleh penduduk berusia Jepun pada masa ini.

    Selain itu, rombongan akan berpeluang melalui Tokyo Bay Aqua Line, jalan raya sejauh 14km melintasi Teluk Tokyo yang merangkumi 4.4km jambatan dan 9.6km terowong iaitu terowong bawah air (underwater) keempat terpanjang di dunia.

    Kenyataan itu menyatakan, melalui Program JENESYS ini, kerajaan Jepun ingin menyumbang kepada usaha mempelbagaikan ekonomi Brunei dan mempromosi perusahaan kecil dan sederhana Brunei ke Jepun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda