TUTONG, 1 MAC – Seramai 20 orang belia dan beberapa orang ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Lubok Pulau telah mengikuti Bengkel Fardu Kifayah yang diadakan di masjid berkenaan, baru-baru ini.
Bengkel yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Lubok Pulau untuk para belia kampung berkenaan merupakan sebahagian aktiviti berkala dan bermusim yang berjalan sepanjang tahun.
Semasa bengkel tersebut yang dikendalikan oleh imam masjid, Awang Ahmad Yani Zulkarnain bin Haji Yusof, para belia mendengarkan penerangan pengurusan jenazah serta praktikal kaedah memandikan dan mengapankan jenazah.
Antara lain tujuan bengkel berkenaan adalah untuk menggalakkan belia-belia supaya dapat berbakti dan berkhidmat kepada masyarakat, melahirkan belia yang mahir dan cekap dalam menguruskan jenazah, memberikan pengetahuan tentang pengurusan jenazah berasaskan Al-Quran dan As Sunnah dan membuat penyelarasan tentang kerja pengurusan jenazah.
