Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Pelbagai kesalahan telah dicatatkan dalam operasi Operasi Bersepadu Bersih yang dikendalikan oleh Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) di kawasan Kampung Tanah Jambu, Mukim Mentiri, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JDBM, dalam operasi berkenaan, Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan JDBM telah mengeluarkan kompaun terhadap 20 individu di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil (Penggal 30).
Pegawai penguat kuasa JIPK pula telah mengeluarkan pas khas kepada 11 individu warganegara asing bagi siasatan lanjut.
Sementara itu, JKED telah menangkap seorang individu kerana melakukan kesalahan di bawah Bab 146, Perintah Eksais Diraja 2006 iaitu memiliki satu karton, sembilan paket dan 20 batang rokok.
