Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Sudah menjadi kelaziman sebelum menjelangnya Ramadan yang mulia, majlis tahlil diadakan oleh ahli keluarga dan penduduk kampung bagi mengenang insan yang sudah tiada.
Sehubungan itu, Majlis Perundingan Kampung Jerudong, Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan Warisan telah mengadakan Majlis Tahlil Arwah Sekampung di masjid berkenaan dan diselajurkan dengan penyampaian sumbangan derma kepada 20 orang kurang berkemampuan dari Kampung Jerudong A dan B, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol Bin Haji Mohamed juga selaku ketua Kampung Putat Zon 5 yang turut menyampaikan sumbangan berkenaan.
Yang Berhormat Awang Zainol turut menyatakan dengan adanya acara seumpamanya, para jemaah dapat sama-sama mendoakan keluarga yang telah kembali ke Rahmatullah selain mengeratkan silaturahim antara para penduduk Kampung Jerudong.