Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Seramai 20 guru kerjaya baharu dari sekolah menengah, maktab dan pusat tingkatan enam kerajaan telah berjaya menamatkan Kursus Pendidikan Kerjaya anjuran Unit Pendidikan Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), Kementerian Pendidikan yang berlangsung di Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Sekolah-Sekolah, di sini, menyatakan Penolong Ketua Unit Pendidikan Kerjaya, Hajah Ameerah Hannah binti Haji Abdul Rahim dalam ucapannya menyatakan, kursus itu meliputi pembentangan daripada pihak berkepentingan yang berkaitan dari Kementerian Pendidikan seperti taklimat dari Unit Pendidikan Kerjaya, JSS, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Jabatan Pengajian Tinggi, IBTE dan pihak luar yang berkepentingan seperti Pejabat Perancangan Tenaga Manusia (PPTM) dan Pusat Pekerjaan Brunei (PPB).
Semasa kursus berkenaan, para guru berpeluang untuk melawat ke Sekolah Menengah Berakas di mana mereka mendengar taklimat yang disampaikan oleh Ketua Guru Pendidikan Kerjaya Sekolah Menengah Berakas, Cikgu Hajah Noorisda binti Haji Ismail.
Dalam taklimat berkenaan, Cikgu Hajah Noorisda menyentuh mengenai latar belakang, perkhidmatan, program dan inisiatif yang diperkenalkan seperti penubuhan kumpulan Career Cadets atau Pembimbing Rakan Kerjaya (PRK) yang terdiri daripada golongan pelajar Tahun 9 hingga Tahun 11. Acara diikuti dengan lawatan ke bilik Pendidikan kerjaya, bagi melihat dengan lebih dekat lagi susun atur dan kemudahan yang ada.
Pada akhir sesi kursus, para guru mengikut kumpulan masing-masing, berpeluang untuk membentangkan pelan tindakan tahunan yang disediakan dan mengongsikan rekaan serta ciri-ciri bilik pendidikan kerjaya yang ideal, dinamik dan mesra.
Majlis diikuti dengan penyampaian sijil tamat kursus oleh Hajah Ameerah Hannah kepada para guru berkenaan.
Pada 2026, guru-guru berkenaan akan menerima surat lantikan rasmi daripada Pengarah Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan sebagai guru pendidikan kerjaya dan ahli komiti pendidikan kerjaya di sekolah masing-masing.
Unit Pendidikan kerjaya, JSS, Kementerian Pendidikan berharap kursus berkenaan akan dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada para guru pendidikan kerjaya baharu dalam memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dan penerokaan kerjaya di sekolah masing-masing selaras dengan motto Unit Pendidikan Kerjaya iaitu Helping students to make well-informed decisions.



