Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Seramai 20 orang guru subjek Commerce dari sekolah menengah dan maktab kerajaan serta beberapa buah sekolah menengah swasta telah membuat lawatan ke Marsya Farm yang terletak di Kampung Sungai Liang, Daerah Belait, sebagai pengalaman untuk diterapkan dalam pengajaran mereka.
Kedatangan rombongan disambut oleh pemilik Marsya Farm, Haji Awang Muliadi bin Awang Moksin yang seterusnya menyampaikan taklimat ringkas dan diikuti dengan lawatan persekitaran kawasan ladang disusuli dengan sesi soal jawab.
Lawatan berkenaan telah dianjurkan oleh Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar yang merupakan ahli Subject Based Committee (SBC) Commerce.
Antara tujuannya adalah untuk mempelajari latar belakang Marsya Farm, jenis tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan dan usaha yang dibuat untuk meningkatkan pengeluaran dan promosi.
Melalui lawatan berkenaan, guru-guru subjek Commerce diharap akan dapat menggunakan maklumat yang diperolehi untuk diterapkan dalam pengajaran mereka terutama di bawah tajuk Pengeluaran, Pengedaran dan Penjualan dalam sukatan pelajaran Commerce dengan menggunakan contoh tempatan kepada para pelajar.
Di akhir lawatan itu, Dayang Siti Rouzillawatty binti Dato Paduka Haji Wahabi dari Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) yang merupakan setiausaha SBC Commerce menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada pemilik Marsya Farm.
