Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Seramai 20 peserta terdiri dari para imam dan bilal telah menghadiri Bengkel Asas Bahasa Isyarat bagi Imam dan Juru Nikah yang berlangsung di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), hari ini.
Bengkel berkenaan anjuran Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama itu telah mendapat sambutan yang baik.
Antara lain bertujuan bengkel berkenaan untuk mendedahkan para peserta kepada pengetahuan dan kemahiran dalam pengendalian Bahasa Isyarat secara bertahap dan bersistematik khususnya dalam bab pernikahan.
Bengkel yang berlangsung selama dua hari itu telah bermula sejak Sabtu lalu dan diadakan di kampus Kolej Universiti berkenaan.


Bengkel berkenaan disampaikan oleh fasilitator jemputan dari Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Hajah Razainah binti Pengiran Haji Daud.
Antara pengisian bengkel berkenaan meliputi pelbagai latihan Asas Bahasa Isyarat dan Praktik Asas Bahasa Isyarat Komunikasi seperti Khutbah Nikah, Ijab dan Qabul serta Taklik Pernikahan.
Bengkel tersebut secara tidak langsung meningkatkan kompetensi dan kemahiran peserta sejajar dengan keperluan pendidikan sepanjang hayat melalui pendekatan yang inklusif dan menyeluruh.
Selain itu, ia juga diharap dapat memenuhi keperluan masyarakat khususnya golongan kurang upaya dalam memastikan setiap interaksi dan perkhidmatan dapat disampaikan dengan lebih optimum dan berkesan.


