RIYADH, 28 MAC – Sebuah bas yang membawa jemaah haji ke kota suci Mekah terbakar selepas kemalangan di sebuah jambatan, kelmarin, mengorbankan 20 orang dan mencederakan puluhan yang lain, lapor media kerajaan Saudi.
Kemalangan di wilayah selatan Asir itu berlaku pada minggu pertama Ramadan, masa paling sibuk untuk jemaah umrah dan hanya beberapa bulan sebelum jutaan umat Islam dijangka menunaikan haji tahunan.
“Menurut maklumat awal yang kini kami terima, jumlah kematian dalam kemalangan ini mencecah 20, dan jumlah kecederaan kira-kira 29,” lapor saluran Al-Ekhbariya yang bersekutu dengan kerajaan.
Saluran tersebut mengatakan mangsa mempunyai ‘kewarganegaraan berbeza’ tetapi tidak menyebut kerakyatan mangsa.
Saluran itu berkata bas itu mengalami ‘masalah’, tanpa menyatakan secara spesifik, manakala akhbar swasta Okaz berkata kemalangan itu berpunca daripada masalah brek.
Kenderaan itu ‘kemudian berlanggar dengan jambatan, terbalik dan terbakar’.
Rakaman yang disiarkan di Al-Ekhbariya menunjukkan seorang wartawan berdiri di hadapan apa yang kelihatan seperti rangka bas yang sudah hangus.
Membawa jemaah di sekitar tapak suci Arab Saudi adalah tugas yang berbahaya, terutamanya semasa haji, apabila jalan raya boleh menjadi huru-hara dengan bas-bas menyebabkan kesesakan lalu lintas yang tidak berkesudahan. – AFP
