Tuesday, March 18, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    20 kakitangan BIBD terima sijil CQIF

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Seramai 20 orang kakitangan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah menerima Sijil Kelayakan dalam Perbankan Islam (CQIF) dalam Pengurusan Harta.

    BIBD dalam kenyataannya di sini, hari ini, menyatakan bahawa pensijilan bertauliah itu adalah bagi meningkatkan keupayaan bank dalam memberikan konsultasi pengurusan kewangan Islam yang lebih baik bagi pelanggannya.

    Pada masa yang sama, usaha-usaha berkenaan menyokong pelan pembangunan jangka masa panjang Brunei untuk menjadi sebuah negara yang diiktiraf secara meluas bagi pencapaian-pencapaian rakyatnya yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi dengan penghasilan profesional-profesional kelas dunia, menurut kenyataan itu lagi.

    Pengarah Urusan BIBD, Mubashar Khokhar dipetik sebagai berkata, “Matlamat kami untuk melibatkan kakitangan kami dalam program-program seperti ini adalah bagi membangunkan lagi kemahiran kami selaras dengan kedudukan kami sebagai institusi kewangan Brunei sendiri yang berusaha memenuhi permintaan bertambah pelanggan untuk menyediakan penyelesaian pengurusan kewangan dan harta Islam bertaraf dunia.”

    Kenyataan itu menjelaskan, CQIF adalah program peringkat lanjutan di bawah Islamic Financial Qualifications Framework and Progression Route, IBFIM (Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia).

    Untuk menyertai kursus lanjut berkenaan, kakitangan BIBD juga perlu menjalani program pensijilan selama lapan bulan untuk menjadi perancang kewangan Islam (IFP) berkelayakan.

    BIBD pada masa ini mempunyai satu pasukan seramai 42 orang IFP, empat daripadanya juga konsultan kewangan Carter (ChFC), jumlah yang kerap bertambah apabila lebih ramai kakitangan BIBD menyertai program untuk menjadi perancang kewangan berkelayakan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda