Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Sebagai salah satu tanggungjawab sosialnya dalam menyokong inisiatif organisasi kebajikan di Negara Brunei Darussalam, Syarikat Intracorp Sdn Bhd telah menyumbangkan 20 kipas angin jenama Mistral kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam sempena kempen Mistral Beat The Heat.
Kempen bertujuan dapat memberikan sedikit keselesaan kepada pusat berkenaan terutama sekali kepada pelajar dan warga Pusat Ehsan.
Kipas-kipas angin berkenaan telah disampaikan oleh Pengurus Runcit Negara, Daniel Kwang kepada Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin.
Produk Mistral telah diperkenalkan di Negara Brunei Darussalam sejak 2012 dan sepanjang tujuh tahun ini, ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai.
Dalam pada itu, Mistral dan Intracorp turut memberikan tawaran menarik sempena bulan Ramadan yang mana bagi setiap pembelian penghawa dingin, syarikat berkenaan memberikan aiskrim percuma kepada pelanggan selepas waktu berbuka puasa.
Sempena Kempen Beat The Heat, beberapa aktiviti juga diadakan antaranya ialah mana-mana pelanggan yang mempunyai idea kreatif dan memuat naik ke dalam Facebook, pemenang akan membawa pulang hadiah sebuah kipas angin jenama Mistral.
Intracorp juga akan mengadakan dua jerayawara produk Mistral di Pusat Membeli-belah Times Square minggu ini dan di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas pada penghujung Jun depan.