Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    20 kompaun dikeluarkan

    Oleh Normazlina M.D

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Sebanyak 20 kompaun dikeluarkan dalam tiga operasi sekatan jalan raya yang dijalankan oleh tiga Daerah Polis berasingan di seluruh negara sempena hujung minggu, semalam.

    Di Daerah Temburong, Daerah Polis Temburong mengadakan sekatan jalan raya di Pusat Kawalan dan Pemeriksaan Ujung Jalan, Temburong di mana sembilan kompaun telah dikeluarkan.

    Turut hadir semasa opeasi sekatan tersebut ialah Pemangku Pegawai Menguasa Balai Polis Bangar, Inspektor Alif Nur Khaliq bin Mat Rasil bersama 10 orang anggota Balai Polis Bangar.

    Manakala itu, di Daerah Polis Belait, Balai Polis Labi menjalankan Operasi Sekatan Jalan Raya di kawasan Jalan Sungai Mau, simpang Merangking Labi. Hadir mengetuai operasi berkenaan ialah Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Labi, Sarjan Mejar 2729 Gudin dengan melibatkan lima orang anggota.

    Operasi tersebut bertujuan bagi membendung dan mencegah kemasukan individu yang mencurigakan dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, barangan tegahan mahu pun senjata yang dikhuatiri memasuki negara ini melalui jalan-jalan tikus di kawasan Daerah Belait terutamanya kawasan Labi.

    Anggota polis ketika menjalankan sekatan jalan raya, semalam.

    Dalam operasi berkenaan, satu kompaun dikeluarkan atas kesalahan lampu brek tidak menyala.

    Di Daerah Tutong pula, Balai Polis Tutong tidak ketinggalan menjalankan operasi serupa di kawasan Jalan Tutong berdekatan kawasan Masjid Kupang yang melibatkan 10 orang anggota Balai Polis Tutong.

    Hasil sekatan tersebut, 10 kompaun dikeluarkan termasuk kesalahan lesen memandu mansuh dan lampu nombor pendaftaran kereta tidak menyala pada waktu malam. Pasukan Polis Diraja Brunei menegaskan dan mengingatkan masyarakat awam agar sentiasa patuh dan jangan sesekali melanggar akta kesalahan lalu lintas di negara ini.

    Pihak polis juga tidak akan teragak-agak dan akan bertindak tegas ke atas mana-mana pemandu yang didapati membawa sebarang barangan tegahan ke Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda