Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Seramai 20 orang daripada Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei dalam enam buah kereta pacuan empat roda telah berlepas ke Sumatera, Indonesia bagi menyertai acara Brunei-Malaysia-Indonesia Archipelago Adventure 2025, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat merasmikan pelepasan di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong ialah Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah para jemputan, ahli-ahli Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei dan para peserta Brunei-Malaysia-Indonesia Archipelago Adventure 2025.
Perjalanan yang diketuai oleh Timbalan Yang Di-Pertua Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei, Awang Mazlani bin Haji Mahadi akan berlangsung dalam dua peringkat.
Pada peringkat pertama perjalanan selama 16 hari akan bermula dari Bandar Seri Begawan menuju ke Sarawak, Malaysia dan seterusnya ke Pontianak, Kalimantan sebelum menaiki feri menuju ke Jakarta dan berakhir di Medan, Sumatera.
Ia diikuti dengan peringkat kedua perjalanan selama 16 hari, yang akan diteruskan dari Medan, Sumatera menuju ke Bandar Acheh dan berpatah balik ke Jakarta.
Acara itu bukan sahaja memberikan para peserta peluang untuk menguji keupayaan diri dan kenderaan, tetapi lebih penting lagi manifestasi semangat setiakawan, persefahaman rentas budaya sambil menikmati pemandangan tempat-tempat yang dikunjungi sepanjang pengembaraan berkonvoi berkenaan.