Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    20 maut, 24 cedera selepas trak rempuh bas di selatan India

    HYDERABAD, 3 NOV – Sebuah trak yang sarat dengan serpihan batu konkrit merempuh sebuah bas penumpang di selatan India hari ini, membunuh kira-kira 20 orang dan mencederakan 24 yang lain, kata pihak berkuasa tempatan.

    Bas pengangkutan milik kerajaan itu membawa kira-kira 70 penumpang dalam perjalanan ke bandar Hyderabad di negeri Telangana selatan apabila sebuah trak yang datang dari arah bertentangan berlanggar dengannya berhampiran bandar Chevella, kata pegawai daerah tempatan, K. Chandrakala kepada The Associated Press.

    Bahagian hadapan bas remuk teruk, memerangkap beberapa penumpang di dalamnya. Timbunan serpihan batu atau batu kerikil dilihat bertaburan di dalam bas.

    Pasukan penyelamat bergelut untuk memotong bahagian bas itu bagi mendapatkan mayat.

    Penguasa di hospital Chevella, Rajendra Prasad, berkata 20 mayat telah dipindahkan ke rumah mayat dan akan diserahkan kepada keluarga mereka selepas pengecaman.

    Pemandu kedua-dua kenderaan itu adalah antara yang terkorban.

    Begitu juga tiga beradik yang sedang belajar di kolej dari sebuah keluarga di bandar Tandur. “Apa yang akan saya lakukan tanpa anak perempuan saya,” kata bapa mereka yang berkabung, Yellaiah Goud.

    Rakaman yang disiarkan di media tempatan menunjukkan seorang ibu dan anak damitnya terbaring bersebelahan, kedua-duanya terkorban.

    Konduktor bas, Radha, berkata terdapat ‘bunyi yang memekakkan telinga apabila trak itu melanggar bas.’ Dia mengalami kecederaan kepala dan sedang dirawat.

    Kemalangan itu berlaku sehari selepas sebuah bas mini yang membawa penumpang di negeri barat Rajasthan merempuh sebuah trak kelmarin, membunuh kira-kira 15 orang dan mencederakan dua yang lain. – AP

    Gambar menunjukkan bas penumpang yang dirempuh oleh sebuah trak yang sarat dengan serpihan batu konkrit di Chevella di selatan negeri Telangana, India pada 3 November. – AP

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda