GEORGETOWN, GUYANA, 22 MEI – Kira-kira 20 orang terbunuh dalam kebakaran asrama sebuah sekolah di Guyana, kata kerajaan dalam satu kenyataan, dengan presiden negara itu menyifatkan sebagai ‘bencana besar’.
“Ini adalah bencana besar. Ia mengerikan, ia menyakitkan,” kata Presiden negara Amerika Selatan itu, Irfaan Ali pada malam semalam.
Angka kematian meningkat kepada 20 orang dan beberapa mangsa cedera dalam kebakaran di Sekolah Menengah Mahdia di tengah Guyana, kata kenyataan kerajaan.
Ali berkata beliau mengarahkan pengaturan dibuat di dua hospital utama di ibu negara Georgetown ‘supaya setiap kanak-kanak yang memerlukan perhatian diberi peluang terbaik untuk mendapatkan rawatan’.
Pesawat persendirian dan tentera dihantar ke Mahdia, terletak kira-kira 200 kilometer di selatan Georgetown, kerana wilayah itu terjejas akibat hujan lebat.
Natasha Singh-Lewis, seorang ahli parlimen pembangkang, menggesa siasatan terhadap punca kebakaran itu dilancarkan segera.
“Kita perlu memahami bagaimana kejadian paling ngeri dan maut ini berlaku dan mengambil semua langkah yang perlu untuk mengelakkan tragedi seperti itu berulang,” katanya. – AFP


