EL PASO, AMERIKA SYARIKAT, 4 OGOS – Seorang lelaki bersenjata telah menyerang sebuah kedai Walmart di Texas, menembak mati 20 orang dalam satu insiden penembakan besar-besaran di Amerika Syarikat (AS), kelmarin.
Tatkala pihak polis sedang melalukan siasatan terhadap insiden yang dianggap sebagai jenayah kebencian itu, Presiden AS, Donald Trump telah mengutuk serangan tersebut sebagai ‘tindakan pengecut’.
Pihak polis juga menyeru kepada masyarakat untuk sama-sama menghentikan segala unsur jenayah dan bentuk kekerasan seperti penyalahgunaan senjata.
Ia adalah insiden penembakan maut kedua dalam masa kurang daripada seminggu di kedai Walmart di AS dan datang selepas insiden penembakan di California hujung minggu lalu.
Seorang suspek ditahan ketika pihak berkuasa sedang menyiasat sebuah manifesto ekstremis yang kononnya ditulis oleh lelaki bersenjata berkenaan.

Rakaman daripada kamera telefon menunjukkan beberapa mayat terbaring di tempat letak kereta di kedai itu, sementara rakaman lain menunjukkan pengunjung kedai tersebut berusaha melarikan diri dalam keadaan ketakutan dengan diselangi beberapa bunyi tembakan.
“Dua puluh orang tidak bersalah dari El Paso terkorban dalam kejadian tersebut,” kata Gabenor Texas Greg Abbott pada sidang akhbar.
“Kami sebagai sebuah masyarakat akan tetap memberikan sokongan dan semangat kepada mangsa-mangsa dan ahli keluarga mereka… “
Ketua Polis Greg Allen mengesahkan bahawa selain 20 mangsa yang terkorban, terdapat 26 lagi lainnya mengalami kecederaan.
Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador berkata tiga warga Mexico terbunuh dan Menteri Luar Marcelo Ebrard berkata di Twitter bahawa enam lagi lainnya cedera.
Sumber berita mengatakan bahawa umur mangsa yang dirawat di hospital adalah antara dua hingga 82 tahun.
Polis mengatakan bahawa ketika kejadian itu berlaku, kira-kira 1,000-3,000 pelanggan berada di dalamnya. – AFP