Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    20 maut gempa bumi gegar selatan Pakistan

    HARNAI, PAKISTAN, 7 OKT – Kira-kira 20 orang terkorban manakala lebih 100 lagi cedera hari ini apabila gempa bumi melanda selatan Pakistan, mengakibatkan bumbung dan dinding rumah batu lumpur runtuh ketika kebanyakan keluarga masih lagi tidur.

    Anak damit lelaki berusia satu tahun antara mangsa terkorban, terbunuh apabila alang menghempapnya dalam kegelapan, ketika gempa berukuran 5.9 magnitud menggegarkan enam bandar dan daerah di wilayah Balochistan.

    Kawasan yang terjejas teruk berlaku di daerah pergunungan terpencil Harnai, di mana tanah runtuh menyekat beberapa jalan raya, menghambat usaha penyelamatan.

    Pihak berkuasa juga berdepan masalah gangguan elektrik dan capaian liputan telekomunikasi selepas pilon musnah.

    “Kami menerima maklumat bahawa 20 orang terkorban akibat gempa bumi,” kata menteri dalam negeri Balochistan, Mir Zia ullah Langau, menambah 100 lagi cedera.

    Kanak-kanak berkumpul bersama barang milik mereka ketika berlindung di tempat selamat susulan gempa bumi di kawasan pergunungan di Harnai, 7 Oktober. – AFP

    “Boleh dikatakan ratusan buah rumah telah musnah.”

    Seorang wanita bersama enam kanak-kanak antara 20 yang maut, Suhail Anwar Hashmi, pegawai tertinggi kerajaan di Harnai memberitahu AFP, meletakkan jumlah cedera sekitar 200.

    “Bumbung atap rumah saya runtuh, apabila saya sedar semula, saya menarik dua orang anak lelaki saya, namun yang paling kecil…sudah meninggal dunia,” kata Rafiullah, seorang petani dari sebuah kampung di daerah Harnai memberitahu AFP.

    Helikopter tentera juga membantu memindahkan mangsa cedera dari kawasan terpencil ke Quetta ke bandar besar berdekatan.

    Naseer Nasar, ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah Balo-chistan memberi amaran jumlah kematian mungkin meningkat.

    Gegaran kedua telah menggoncangkan kawasan tersebut kira-kira dua jam selepas gempa bumi pertama melanda. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda