20 maut, letupan di Afghan

KABUL, AFGHANISTAN, 19 SEPT – Satu letupan kuat dari sebuah trak pagi ini telah memusnahkan sebuah hospital di selatan Afghanistan hari ini, meragut lebih 20 nyawa dan mencederakan lebih 90 lainnya, seorang pegawai berkata.

Taliban, yang mengaku bertanggungjawab melakukan pengeboman itu, telah melakukan serangan hampir setiap hari sejak perundingan damai antara Amerika Syarikat terhenti bulan ini.

Letupan besar itu telah memusnahkan sebahagian daripada Hospital Qalat, ibu kota selatan wilayah Zabul dan mengakibatkan beberapa buah ambulan rosak.

Pengunjung yang kebanyakannya datang ke hospital berkenaan untuk melawat ahli keluarga mereka yang sakit, menggunakan selendang dan selimut untuk membalut luka mangsa yang tercedera akibat letupan tersebut, sementara pihak berkuasa telah berusaha untuk membawa mereka yang tercedera ke hospital yang berhampiran di Kandahar.

Beberapa jam selepas letupan itu, bilangan mereka yang terbunuh dan tercedera akibat kejadian itu telah dikeluarkan dengan bilangan yang berbeza.

Jurucakap gabenor wilayah berkenaan, Gul Islam Seyal meletakkan angka bilangan mereka yang terbunuh adalah seramai 12 orang tetapi ketua majlis perbandaran wilayah tersebut meletakkan angka bilangan mereka yang terbunuh adalah 20 orang.

Letupan itu juga berlaku selepas sahaja penduduk menunaikan solat pada waktu pagi, di mana sebahagian daripada masjid berdekatan dengan hospital itu juga turut musnah, kata penduduk Qalat, Mahboob Hakimi.

Menurutnya jendela kediamannya yang terletak dua kilometer daripada kejadian itu turut pecah. – AP

Seorang anggota keselamatan Afghan ketika melakukan pemeriksaan di kawasan letupan di Qalat, wilayah Zabul, kelmarin. – AFP