20 paket rokok dirampas, pemilik ditahan

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar serahan PDB

TUTONG, 23 JAN – Sejumlah 20 paket rokok pelbagai jenama telah ditemui semasa operasi sepadu dijalankan di tiga lokasi di Daerah Tutong, baru-baru ini.

Operasi dilaksanakan oleh penguat kuasa undang-undang dari Daerah Polis Tutong Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Bahagian Penguat-kuasaan Ugama (BPU) serta Jabatan Buruh.

Operasi yang menyasarkan Kampung Bukit Sibut, Kampung Bukit Udal dan Jalan Petani Pekan Tutong itu membabitkan seramai 79 orang pegawai dan ahli yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Penolong Penguasa Polis Ahmad Faez bin Haji Mohd Hani.

Semasa operasi tersebut, barangan tegahan telah dirampas sementara pemiliknya ditahan untuk siasatan lanjut oleh pihak JKED.

Operasi merupakan usaha berterusan agensi penguat-kuasaan undang-undang di Daerah Tutong dalam sama-sama membanteras jenayah dan kegiatan menyalahi undang-undang.

Antara warga asing yang diperiksa semasa operasi berkenaan.