Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    20 pasukan bersaing dalam cabaran pelaburan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Baiduri Capital dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD), Brunei Darussalam Capital Market Association (BCMA) dan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah melancarkan Cabaran Pelaburan UBD 2025 sempena dengan Minggu

    Pelabur Sedunia 2025 yang berlangsung di Dewan Senat, Dewan Canselor, UBD, hari ini.
    Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Pengerusi BCMA, Kamal Muhammad.

    Cabaran pelaburan berlangsung sehingga 2 Februari 2026 dengan menjemput penyertaan pasukan-pasukan yang terdiri daripada tiga orang pelajar atau alumni baharu yang menamatkan pengajian mereka antara tahun 2023 hingga 2025 dari UBD, Universiti Teknologi Brunei (UTB) atau Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) untuk bersaing dalam simulasi pelaburan maya yang dinamik dan praktikal.

    Setiap pasukan diberikan modal maya sebanyak SGD500,000 untuk berdagang dalam pelbagai pasaran global termasuk Amerika Syarikat, Malaysia, Singapura, Hong Kong dan saham China A melalui Hong Kong Stock Connect.

    Sebanyak 20 pasukan akan bersaing untuk merebut jumlah hadiah tunai sebanyak $3,500, yang ditaja bersama oleh BCMA dan BDCB, yang mana penilaian dibuat berdasarkan pertumbuhan portfolio, strategi pelaburan, serta kualiti pembentangan.

    Brian Wong ketika menyampaikan ucapannya dalam acara tersebut. – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI
    Sesi bergambar ramai antara tetamu kehormat dan pihak penganjur dalam acara berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI

    Cabaran ini merupakan hasil langsung daripada memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara UBD dan Baiduri Capital pada Julai lalu.

    Melalui cabaran tersebut, pelajar dan alumni baharu diharapkan mempunyai peluang yang lebuh luas untuk meneroka dunia pelaburan sebenar melalui platform dagangan maya Baiduri Invest.

    Pengurus Besar Baiduri Capital, Brian Wong berkata, “Kerjasama ini membolehkan kami mencipta pengalaman pembelajaran yang bermakna bagi mempersiapkan pelajar menghadapi realiti dunia pelaburan dalam pasaran modal.

    “Kami berbangga menyokong inisiatif yang membina keyakinan kewangan dan kesiapsiagaan kerjaya dalam kalangan belia Brunei,” ujarnya.

    Inisiatif ini antara lain bertujuan menimbulkan minat terhadap kewangan serta membekalkan belia Brunei dengan kemahiran pelaburan praktikal.

    Ia mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh literasi kewangan dan kesediaan kerjaya, selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dan Rangka Kerja Kecekapan Kewangan Brunei Darussalam.

    Turut hadir semasa majlis pelancaran itu, wakil-wakil dari Baiduri Capital, BCMA, BDCB serta pihak pentadbiran universiti, yang mencerminkan komitmen rentas sektor dalam melahirkan pemimpin kewangan masa depan Brunei.

    Acara ini menghimpunkan para pelajar dari UBD dan UTB, bersama tenaga akademik dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UBD (UBDSBE), dan beberapa institusi pengajian lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda