Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Seramai 20 orang pegawai dan kakitangan dari Jabatan Perkhidmatan Makmal telah mengikuti Kursus Marsyal Bomba yang diadakan di Balai Bomba Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.
Kursus yang dikendalikan oleh Unit Perhubungan Awam, Cawangan Operasi A, itu telah mendedahkan peserta akan pentingnya keselamatan kebakaran secara teori dan praktikal.
Menerusi kursus berkenaan, para peserta berpeluang mendengarkan mengenai sebab dan punca berlakunya kebakaran, mengetahui tindakan apabila menghadapi insiden kebakaran di tempat kerja dengan membuat latihan pengosongan bangunan secara bersistematik.
Secara umum kursus berkenaan mendedahkan mengenai tatacara penggunaan alat pemadam api dengan betul dan tatacara untuk menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam bangunan bila berlakunya kebakaran.
Sehubungan itu, JBP dalam usaha menyalurkan maklumat yang tepat turut menyediakan program Kursus Marsyal Bomba, Lifesaver 995 dan taklimat keselamatan kebakaran.
Jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang ramai bolehlah menghubungi melalui talian kecemasan bomba 995.
