Friday, March 24, 2023
22.9 C
Brunei

-

20 pelajar IBTE SSRC tingkat literasi maklumat

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Seramai 20 orang pelajar dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Saiful Rizal (SSRC) telah mengikuti Bengkel Literasi Maklumat yang julung kali diadakan di perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) khususnya melalui Unit Rujukan Umum dan Sumber Elektronik, berlangsung dua hari baru-baru ini.

Bengkel yang diadakan pada 14 dan 16 April lalu itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam pencarian maklumat dengan lebih tepat, mudah dan cepat.

Sepanjang bengkel itu, peserta dibimbing oleh fasilitator bengkel yang terdiri daripada pustakawan-pustakawan dari unit berkenaan.

Dalam era teknologi maklumat yang serba mudah dan pantas pada masa ini, orang ramai dengan senang dapat mencari apa jua maklumat melalui pelbagai platform yang dapat diakses melalui Internet.

Walau bagaimanapun, dengan adanya sumber maklumat yang banyak ini, sukar untuk menilai sama ada maklumat yang diperolehi itu adalah betul dan boleh dipercayai.

Perpustakaan juga memainkan peranan penting dalam hal ini dan sebagai sebuah institusi penyedia maklumat, menjadi tanggungjawab perpustakaan untuk mendidik dan memberikan pengetahuan kepada orang ramai dan pengguna mengenai cara betul untuk mendapatkan maklumat dan menggunakan maklumat berkenaan untuk membantu dalam apa jua keperluan mereka.

Bengkel yang diadakan di ruang bacaan Unit Rujukan Umum dan Sumber Elektronik itu diharap dapat membantu pengguna untuk berfikir secara rasional dalam mencari dan mendapatkan maklumat yang relevan, efisien dan tepat.

Selain dapat membantu terutama sekali golongan pelajar yang banyak melaksanakan penyelidikan untuk kertas kerja atau tugasan yang diberikan semasa pembelajaran dan seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang berkemahiran dalam literasi maklumat akan dapat membantu untuk menghasilkan rakyat yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran sejajar dengan Wawasan Brunei 2035.

Antara pelajar IBTE Kampus Sultan Saiful Rizal yang menyertai Bengkel Literasi Maklumat. – Gambar serahan DBP

 

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea S, Jepun tingkat kerjasama

TOKYO, 23 MAC - Jepun dan Korea Selatan hampir serentak menarik tuntutan eksport mereka terhadap satu sama lain sebagai tanda terbaharu hubungan yang bertambah...
- Advertisment -